Sejarah hari ini - 26 Januari 1967


Pada hari ini dalam tahun 1967, satu perjanjian mengenai kerjasama dalam bidang pendidikan telah ditandatangani di antara Ketua Pengarah Pelajaran, Tuan Haji Hamdan bin Sheikh Tahir
yang mewakili Kerajaan Malaysia dengan wakil Kerajaan Indonesia iaitu Prof. Dr. Soemantri Hadjoprakoso.


Perjanjian yang telah ditandatangani di Bogor, Indonesia ini adalah merupakan lanjutan dari perbincangan yang telah dicapai di Kuala Lumpur pada 14 September 1966. Matlamat kerjasama
dalam bidang pendidikan pada keseluruhannya adalah untuk mewujudkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam mempercepatkan proses pembangunan melalui kerjasama yang erat
dalam bidang pelajaran.

Di samping itu ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Di bawah kerjasama pendidikan ini, beberapa program pertukaran telah dibentuk.

Antaranya:-


  • Pertukaran guru dan pendidik.
  • Pertukaran buku-buku pelajaran, majalah-majalah dan penerbitan-penerbitan lain.
  • Pertukaran para penyelidik, pensyarah dan mahasiswa serta para pelatih.
  • Pertukaran penemuan dan hasil-hasil kaji selidik.
  • Pertukaran belia.


Dari segi pembiayaan pula, kedua-dua delegasi dari Kerajaan Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyerahkan kepada pemerintah masing-masing bahawa segala pembiayaan pendidikan mahasiswa dan pelajar serta para pelatih di Malaysia dan di Indonesia hendaklah di tanggung sendiri oleh kerajaan masing-masing.

Selain itu kedua-dua kerajaan juga dikehendaki mempertimbangkan usul-usul terhadap pembiayaan rancangan yang disusun dalam rangka kesepakatan ini baik sebahagiannya ataupun keseluruhan, iaitu melalui bantuan dari negara lain, organisasi-organisasi, yayasan-yayasan atau badan-badan antarabangsa.

Dengan termaktubnya perjanjian kerjasama di bidang pelajaran pada hari ini dalam tahun 1967, maka ia telah dapat mempereratkan lagi hubungan dan kerjasama di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia.

Sumber : Arkib

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »