BERITA BAIK BUAT GURU


Putrajaya, 11 Jan - Mulai tahun ini, guru kelas dan guru akademik biasa hanya perlu menguruskan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS-Offline) bagi mengurangkan beban tugas mereka, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Beliau berkata aplikasi yang melibatkan operasi sekolah seperti Sistem Pengurusan Maklumat Pendidikan (EMIS) dan Sistem Pendaftaran Dalam Talian akan dilaksanakan oleh guru-guru yang dilantik sahaja seperti guru data dan setiausaha peperiksaan.

"Kita mahu masalah tugas dan tanggungjawab berat yang digalas oleh guru diselesaikan segera kerana guru perlu memberi lebih tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran," katanya semasa menyampaikan perutusan tahun baharu 2017 kementerian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Bagi meningkatkan kompetensi dan potensi guru, Mahdzir berkata Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan telah dibangunkan sebagai panduan dan motivasi kepada mereka.

"Besarlah harapan kementerian agar guru-guru dapat memanfaatkan pelan ini bagi meningkatkan kompetensi masing-masing," katanya.

Mengenai PBS, Mahdzir berkata bermula tahun ini, keputusan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan dicetak dalam helaian yang sama dengan tiga komponen lain yang dinilai iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Katanya sebelum ini keputusan PT3 dan komponen lain dicetak dalam helaian berlainan, menyebabkan masyarakat terlalu fokus kepada keputusan akademik tanpa mengambil kira nilai lain yang membentuk pelajar yang holistik.

"Ada yang datang jumpa saya kata anak dia dapat 9A PT3, apabila saya tanya keputusan pentaksiran lain, dia kata dia bawa keputusan itu sahaja. Ini kerana, tiada lagi pemahaman untuk mengaitkan PT3 dengan komponen lain.

"Jika ini tidak dilakukan, kita akan kembali seperti dahulu di mana tafsirannya berdasarkan akademik dan sampai bila-bila pun kita akan berorientasikan peperiksaan," jelasnya.

Mengenai bantuan persekolahan untuk pelajar tahun ini, beliau berkata kementerian menyediakan 19 bantuan dengan nilai peruntukan RM3.059 bilion, berbanding RM2.064 bilion pada tahun lepas.

Mahdzir berkata bantuan itu termasuk Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu 1Malaysia, Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK), biasiswa sukan, bantuan seragam beruniform, Biasiswa Kecil Persekutuan dan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup, beliau berkata hanya 11 daripada 27 IPG akan diubah kepada institut pendidikan lain secara berperingkat bagi memaksimumkan penggunaan insfrastruktur yang tidak digunakan.

Katanya terdapat IPG mempunyai jumlah pelajar yang rendah menyebabkan sebahagian daripada bangunan di dalam kampus tidak digunakan dan kosong.

"Ada yang akan diubah kepada kolej vokasional dan politeknik namun pertukaran ini mengambil masa, bukan kita nak tutup serta-merta.

"Pengajian IPG yang sedang berlangsung akan diteruskan, kalau ada pelajar tahun pertama kita akan habiskan sehingga empat tahun, kemudian barulah kita ubah kepada aktiviti pendidikan lain," jelasnya.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »