Pada hari ini dalam tahun 1963, bangunan baru Rumah Sakit bersalin di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Bangunan baru yang berharga lebih dari 5 juta ringgit ini merupakan rumah sakit bersalin yang pertama di Tanah Melayu dan termoden di Asia Tenggara. Bangunan setinggi 6 tingkat ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Pusat Perbekalan Ubat, bilik kanak-kanak, tempat rawatan dan bilik orang-orang sakit kelas pertama, kedua dan ketiga.
Bilik kanak-kanak terbahagi kepada dua iaitu untuk kanak-kanak baru lahir yang sihat dan untuk bayi yang lahir tidak cukup bulan. Bilik kanak-kanak ini boleh menampung 36 orang kanak-kanak baru lahir yang dilengkapi dengan alat-alat moden setanding dengan rumah sakit bersalin di seluruh dunia.
Rumah sakit ini mempunyai 214 buah katil iaitu 20 buah katil untuk kelas pertama di mana 12 bilik diperuntukan bagi seorang dan dua bilik untuk empat orang. Untuk kelas kedua disediakan 34 buah katil sementara 156 buah katil dikhaskan untuk kelas ketiga dan diletakkan di ruang terbuka. Bangunan baru ini juga dilengkapi dengan bilik bedah, kemudahan-kemudahan X-ray, makmal, bilik-bilik pengasingan dan bahagian rawatan sebelum bersalin.
Menteri Kesihatan, Encik Abdul Rahman Talib yang turut hadir di Majlis tersebut menyatakan bahawa pembinaan rumah sakit tersebut adalah merupakan sebahagian rancangan besar perkhidmatan kesihatan yang sentiasa memberi perhatian berat kepada kesihatan rakyat terutama di kawasan-kawasan luar bandar.
Beliau berharap rumah sakit ini dapat memberi layanan dan kemudahan kepada mereka-mereka yang berkehendakkan rawatan. Dengan adanya bangunan baru rumah sakit bersalin ini, mereka yang mendapat sakit teruk dapat menerima kemudahan rawatan dengan segera dari doktor dan ahli-ahli perubatan yang pakar.
Sumber : Arkib