Sejarah Hari Ini - 12 Jan 1946


Pada hari ini dalam tahun 1946, satu perisytiharan mengenai pengawalan memandu kereta-kereta motor bagi negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu telah dikeluarkan oleh Timbalan Ketua
Hal Ehwal Awam, Brigadier A.T. Newboult.


Perisytiharan ini dikeluarkan melalui Waran Pentadbiran Tentera British No. 42 yang juga dikenali sebagai Perisytiharan Kesalahan Memandu Kereta-kereta Motor.

Melalui perisytiharan ini adalah menjadi tanggungjawab pihak Hal Ehwal Awam (Civil Affairs), Pegawai Polis dan anggota-anggota Polis menentukan supaya pemandu-pemandu kereta motor
mematuhi undang-undang memandu kereta-kereta motor.

Di antara perkara-perkara penting yang terkandung di dalam Perisytiharan ini ialah:-

- Setiap pemandu tidak dibenarkan memandu mana-mana kenderaan di jalan raya kecuali mempunyai lesen memandu yang sah.

- Adalah menjadi satu kesalahan terhadap mana-mana pemandu yang memandu di jalan raya-jalan raya dalam keadaan yang boleh membahayakan.

- Apabila seseorang pemandu itu dituduh atau disyaki sebagai telah melakukan kesalahan berhubung dengan memandu kenderaan bermotor tuan empunya kenderaan tersebut dikehendaki
memberi keterangan seperti mana yang dikehendaki oleh pihak polis, iaitu pengenalan, alamat dan juga lesen pemandu berkenaan tetapi jika ia gagal berbuat demikian dalam tempoh 7 hari
dari tarikh permintaan tersebut, ia adalah di anggap telah melakukan kesalahan dan tindakan undang-undang boleh diambil terhadapnya, kecuali ia boleh menunjukkan bukti yang jelas kepada
Mahkamah yang ia betul-betul tidak tahu mengenai maklumat-maklumat yang dikehendaki itu.

- Adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana pemandu yang gagal menunjukkan lesennya sewaktu diminta oleh pihak berkuasa berbuat demikian.

Perisytiharan ini telah dimansuhkan dan kemudian telah digantikan dengan Ordinan Trafik Jalan Raya No. 49 tahun 1958.

Sumber : Arkib

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »