Sejarah hari ini - 24 Januari 1984


Pada hari ini dalam tahun 1984, kursus diploma dengan muzik bermula di Institut Teknologi MARA.

Seramai 19 orang pelajar telah diterima untuk mengikuti kursus tersebut sebagai permulaan. Kursus empat tahun ini diadakan bertujuan menyediakan ahli-ahli muzik bumiputera bagi memenuhi permintaan yang bertambah dalam bidang ini. Ia dikendalikan oleh tujuh orang pensyarah muzik.


Dalam kursus ini penuntut-penuntut didedahkan dengan pelajaran asas muzik seperti membaca nota muzik, menggunakan alat muzik serta memahami falsafah dan estetika muzik. Penuntut-penuntut juga diajar pelajaran-pelajaran liberal yang berkaitan seperti sejarah kebudayaan, agama dan sebagainya.

Pada tahun ketiga dan keempat, penuntut-penuntut dikehendaki membuat pengkhususan sama ada sebagai pemuzik profesional atau mengambil pendidikan muzik untuk menjadi pensyarah. Semasa mengikuti kursus ini, penuntut-penuntut tidak sahaja mempelajari alat-alat muzik moden tetapi juga alat-alat muzik tradisional supaya kedua-kedua muzik tradisional dan moden dapat diseimbangkan.

Di samping itu menggunakan idea-idea dan teknik-teknik moden dalam memperbaiki mutu muzik tradisional tanpa menjejaskan keasliannya. Dengan adanya kursus ini, ia dapat memenuhi hasrat yang sudah lama dinantikan oleh pemuzik dan penyanyi tanah air.

Walaupun di negara ini ada institusi-institusi yang menyediakan kursus muzik tetapi kelahiran di ITM memberikan satu harapan baru kepada mereka untuk mengasah bakat ke taraf profesional.

Sumber : Arkib

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »