Banjir di kawasan pantai timur terutamanya di negeri Kelantan difahamkan semakin pulih. Ia sekaligus membolehkan pasukan penyelamat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai menjalankan kerja-kerja pembersihan termasuk mengagihkan bekalan makanan.
Beberapa empangan di sungai Kelantan sudah kembali ke paras yang normal, namun masih ada lagi dua stesen iaitu Rantau Panjang dan Kuala Kemubu berada diparas berjaga-jaga.
Apa yang menjadi masalah ketika ini adalah mendapatkan bekalan sumber air bersih. Namun dengan bantuan pantas daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, masalah ini dapat diatasi dengan lancar dan mudah.
Kerajaan Pusat juga dikatakan akan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataannya mahu memastikan program pemulihan banjir memberi manfaat kepada semua pihak.
Perdana Menteri ketika melawat mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini mendengar sendiri keluhan mereka. Beliau meluangkan masa sehari suntuk turun padang membuat tinjauan di beberapa lokasi yang terjejas banjir dan mengunjungi pusat pemindahan untuk menemui mangsa banjir di kedua-dua negeri di Pantai Timur tersebut.
Manakala bagi pihak kerajaan negeri, Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob amat mengalu-alukan bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat dan akan berkerjasama demi kepentingan rakyat.
Kerja-kerja pembersihan di Negeri Kelantan melibatkan pembersihan menggalikan semula sungai-sungai yang telah menjadi cetek serta membaiki tebing-tebing sungai yang terhakis yang berpunca dari rempuhan aliran air yang deras.
Menurut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan, Ir Haji Shamimi Sharif, Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Kelantan telah pun ditutup kerana kesemua mangsa banjir telah pulang ke rumah masing-masing sejak petang semalam.
Namun begitu beliau menasihatkan agar ibubapa mengawasi anak-anak mereka agar jangan terleka dari memastikan mereka jauh daripada kawasan yang bahaya, kerana di sesetengah kawasan banjir masih lagi di paras berjaga-jaga. Lagipun airnya tidak bersih, dibimbangi akan mudah dijangkiti dengan pelbagai penyakit.
Bagi mengatasi masalah "air termenung" kerajaan negeri akan menyediakan pam-pam di kawasan berkenaan. Oleh kerana kebanyakkan kawasan adalah tanah rendah adalah lebih baik menunggu ia surut.
#DoaUntukKelantan #Banjir2017 #BencanaAlam #DoaUntukPantaiTimur