HARI INI DALAM SEJARAH : PENYATA PELAJARAN RAZAK DILULUSKAN




Sejarah Hari Ini – 7 Mac 1957

Pada hari ini dalam tahun 1957, Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dengan sebulat suara meluluskan Penyata Razak .

Penyata ini adalah bertujuan untuk mewujudkan suatu sistem pelajaran nasional bagi Persekutuan Tanah Melayu yang Merdeka yang dapat diterima oleh seluruh rakyat serta memenuhi kehendak mereka dan yang dapat mengalakkan perkembangan kebudayaan, sosial dan ekonomi ke arah satu bangsa dengan tujuan hendak menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan dalam pada itu memelihara pertumbuhan bahasa dan budaya orang-orang bukan Melayu di negara ini.


Rang Undang-undang ini diharap akan dapat menghapuskan semua sekatan yang menghalang perpaduan kaum di negara ini dan akan melahirkan satu bangsa yang baru dan bersatu.


Ia juga akan membuka kesempatan yang lebih luas kepada anak-anak untuk mengasah dan melahirkan perpaduan antara kaum yang tulen di negara ini.
Dalam membentangkan Rang Undang-undang Pelajaran ini beberapa cadangan telah dikemukakan.


Di antara cadangan-cadangan tersebut termasuklah:
(i) Membina 5 buah sekolah Teknik yang akan bertempat di Pengkalan Chepa, Kelantan; di Temerloh, Pahang; di Melaka; di Telok Air Tawar, Butterworth; di Rembau, Negeri Sembilan.
(ii) Membina 2 buah sekolah pertukangan di Selangor, sebuah di Teluk Datuk dan sebuah lagi di Tanjung Karang.
(iii) Membina 2 buah Institut Rendah Teknik (Junior Technical Institute) satu di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.
(iv) Sistem melatih guru-guru juga akan disusun semula di bawah Rang Undang-undang ini bagi melahirkan guru-guru yang lebih berdedikasi.


Undang-undang Pelajaran 1957 yang diluluskan hari ini dalam tahun 1957 setelah dibacakan bagi kali yang ketiga adalah digubal berdasarkan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956.
Laporan jawatankuasa ini telah diluluskan pada dasarnya setelah dibentangkan dalam perbahasan Majlis Perundangan Persekutuan pada 16hb Mei, 1956

Sumber – Arkib Negara

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »