LALUAN DARAT PERTAMA MALAYSIA KE INDONESIA
Pada hari ini dalam tahun 1991, apabila laluan darat yang pertama menghubungkan kedua-dua negara melalui Tebedu di Sarawak dan Entikong di Kalimantan barat dibuka dengan rasminya.
Perasmian ini telah dilakukan bersama oleh Menteri Pertahanan Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak dan Panglima Angkatan bersenjata Republik Indonesia (ABRI) Jenderal Tan Sri Try Sutrisno.
Keduanya adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia - Indonesia yang dibawahnya terdapat Jawatankuasa Pembangunan Sosio Ekonomi Malindo yang mengendalikan projek-projek di sempadan.
Di samping pembukaan laluan tersebut, kedua-duanya juga telah merasmikan bangunan kompleks imigresen masing-masing di Tebedu dan di Entikong.Di antara matlamat-matlamat penting pembinaan laluan darat itu ialah:-
1. meningkatkan hubungan dagang khususnya antara usahawan tempatan dengan usahawan Indonesia dan industri pelancongan tempatan.
2. menambahkan pembangunan di kawasan sempadan dan dengan itu kawasan tersebut tidak dapat dijadikan kawasan persembunyian oleh anasir-anasir jahat.
Laluan darat pertama yang menghubungkan Malaysia-Indonesia yang dirasmikan pada hari ini diharap akan memberi faedah bersama, sama ada dari segi ekonomi, sosial, kebudayaan, sukan dan sebagainya di antara kedua-dua rakyat Malaysia dan Indonesia.
Sumber – Arkib Negara