Sejarah Hari Ini – 1 Mac 1975


PERASMIAN TASEK PERDANA KUALA LUMPUR

Pada hari ini dalam tahun 1975, Perdana Menteri YAB Tun Haji Abdul Razak telah merasmikan Tasek Perdana di Taman Bunga Kuala Lumpur.


Upacara pembukaan Tasek tersebut adalah sempena perayaan Hari Wilayah Persekutuan.

Tasek ini pada masa dahulu dikenali sebagai Tasek Sydney dan kini secara rasmi telah ditukar kepada nama Tasek Perdana.

Pembukaan Tasek Perdana ini adalah sebahagian daripada projek bandaraya dalam usaha menambah tempat-tempat rekreasi di Ibu Kota.

Keindahan bandaraya Kuala Lumpur yang kian bertambah dari hari ke sehari terutama semenjak ia menjadi Wilayah Persekutuan telah menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri datang melancong ke sini.

Di samping menjaga kebersihan dan menggalakkan kegiatan-kegiatan berupa pertunjukkan kebudayaan di Taman Bunga, usaha-usaha mewujudkan tempat-tempat seperti ini juga penting dalam usaha menarik lebih ramai lagi pelancong ke sini.

Sehubungan dengan ini dalam ucapannya YAB Perdana Menteri telah menyeru pihak Dewan Bandaraya supaya merancang penubuhan taman-taman bunga dan lain-lain tempat rekreasi yang kreatif seperti ’Miniature Boat Race’ cara kawalan jauh; ’Malaysia in Miniature’ atau Disneyland.

Kawasan-kawasan kreatif seperti ini perlu diadakan memandangkan kurangnya kawasan-kawasan kreatif untuk dinikmati oleh semua golongan terutama kanak-kanak.

Pembukaan Tasek Perdana pada tahun ini sesungguhnya menunjukkan bahawa kerajaan mengambil berat tentang segala kemudahan rakyat yang terdiri dari berbagai kaum.

Juga usaha ini adalah untuk mempertingkatkan lagi kegiatan pelancongan di ibu kota.

Sumber – Arkib Negara

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »