Sejarah Hari Ini – 24 Februari 1965


Pada hari ini dalam tahun 1965, tokoh nasionalis kemerdekaan Encik Aminuddin Baki telah meninggal dunia.


Allahyarham merupakan seorang tokoh nasionalis kemerdekaan yang bertanggungjawab, berdedikasi dan aktif yang berjuang melalui pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.

Allahyarham Aminuddin Baki, telah dilahirkan di Chemor, Perak pada 26 Januari 1926. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Chemor hingga darjah lima, kemudiaan meneruskan pendidikan menengahnya di Special Malay Class dan Sekolah Anderson, Ipoh.

Setelah lulus peperiksaan Cambridge School Certificate, Allahyarham melanjutkan lagi pelajarannya di Raffles College, Singapura pada 1947. Setelah itu pada tahun 1949 Allahyarham diterima masuk pula ke Universiti Malaya, Singapura dan lulus pada tahun 1951.

Oleh kerana kecemerlangan Allahyarham dalam pelajaran, pada bulan Oktober 1952, Allahyarham ditawarkan Queen’s Scholaship bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Institute of Education, University of London dan lulus dengan Master of Methods.

Sekembalinya ke tanah air pada 1953, Allahyarham bertugas sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris. Mulai tahun 1959-1960 Allahyarham menjadi pensyarah sambilan di Kolej Islam dan berkhidmat sebagai Pegawai Pelajaran di Selangor.

Di samping itu, Allahyarham merupakan anak Melayu pertama memegang jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak bergiat dalam pelbagai jawatankuasa dan gerakan pelajar.

Jawatankuasa tersebut antaranya Jawatankuasa Barnes, Jawatankuasa Penyata Razak dan Laporan Rahman Talib.

Di samping itu Allahyarham juga aktif dalam kebudayaan, bahasa dan kemasyarakatan. Beliau pernah memegang jawatan Presiden GPMS yang ditubuhkan oleh Allahyarham dan rakan-rakan pada 1948.

Sebagai mengenang jasa beliau, satu tabung dinamakan Yayasan Aminuddin Baki telah ditubuhkan dan dilancarkan pada 5 Februari 1966.

Sumber – Arkib Negara

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »