Sejarah Hari Ini - 27 Februari 1963


PELETAKAN BATU ASAS MASJID NEGARA

Pembinaan Masjid Negara yang memakan masa selama tiga tahun sebagai tanda penghargaan kepada Perdana Menteri ketika itu, iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


Pada hari ini dalam tahun 1963, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail telah menyempurnakan peletakan batu asas kepada pembinaan Masjid Negara di Kuala Lumpur.

Pembinaan Masjid yang bernilai $10 juta ini adalah bertitik tolak daripada keputusan Majlis Kerja Persekutuan yang ingin mendirikan sebuah masjid sebagai tanda penghargaan kepada Perdana Menteri ketika itu, iaitu YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj terhadap jasa-jasanya kepada rakyat.

Majlis Raja-raja telah memperkenankan projek tersebut selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Pembinaan masjid ini memakan masa selama tiga tahun dan telah dibuka dengan rasminya pada tanggal 27 Ogos 1965 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Reka bentuk dan penyeliaan bangunan ini telah dilakukan oleh para arkitek Bahagian Reka Bentuk dan Penyelidikan, Jabatan Kerja Raya Persekutuan di bawah arkitek utamanya iaitu Baharuddin Abu Kassim.

Antara kemudahan-kemudahan yang disedikan di masjid ini ialah dewan sembahyang seluas 22,500 kaki persegi, dewan persidangan, perpustakaan, bilik diraja dan sebuah bilik imam.

Sumber - Arkib Negara

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »