Seringkali kejadian kemalangan hari ini dikaitkan dengan penggunaan telefon bimbit ketika memandu. Tidak dapat dinafikan kebanyakan kemalangan yang berlaku di negara kita berpunca dari talifon bimbit.
Teknologi telefon bimbit telah banyak mengubah kehidupan kita dengan kewujudan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp dan mesej multimedia. Fungsinya tidak sama lagi seperti telefon biasa menjadi telefon biasa sebaliknya telah menjadi telefon pintar dengan pelbagai kemudahan.
Hal itu juga mengubah soal keselamatan jalan raya dan menjadi cukup berbahaya apabila kita menggunakannya untuk melayari laman sosial, mengambil gambar, atau mencari lokasi ketika sedang memandu mahupun menunggang motosikal.
Ia bukan sahaja bahaya kepada diri pemandu tersebut bahkan kepada pengguna jalanraya yang lain.
Kajian dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Sweeden dan Jepun mendapati mereka yang menggunakan telefon bimbit sama seperti memandu dalam keadaan mabuk dan berhadapan dengan risiko kemalangan empat hingga lima kali ganda berbanding mereka yang tidak menggunakannya.
Kajian menunjukkan sekiranya seorang yang mabuk dengan tahap alkohol dalam darah 0.08 peratus mereka berhadapan dengan peningkatan kemalangan empat kali ganda. Risiko yang sama akan berlaku sekiranya seseorang bercakap di telefon dan ia akan meningkat sehingga lapan kali ganda sekiranya mereka menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS).
Peningkatan risiko kemalangan bagi mereka yang menggunakan telefon bimbit terjadi pada satu atau lima minit sebelum kemalangan dan penurunannya hanya akan hilang selepas 15 minit pemandu tersebut tidak menggunakan telefon bimbit.
Biasanya di Ibukota Kuala Lumpur, ketika keadaan jalanraya sesak dengan kenderaan penggunaan telefon bimbit boleh mengundang kesesakan yang teruk. Ini berlaku apabila kenderaan tidak mengikut haluan yang betul atau memasuki lorong ditengah garisan putih. Keadaan ini akan meyukarkan kenderaan kecil seperti motorsikal untuk bergerak.
Sudah menjadi pandangan biasa ketika di jalan raya kini, melihat penunggang motosikal berbual menggunakan telefon bimbit. Sambil menyelitkan telefon di dalam topi keledar, tanpa rasa bersalah berbual dalam nada suara yang tinggi hingga boleh didengar oleh pengguna jalan raya lain.
Sementara itu bagi yang memandu, telefon bimbit sentiasa ada di sisi, dicelah tempat duduk, di poket baju dan seluar. Tanpa menggunakan kit bebas tangan 'hand free' ketika berbual ada juga yang membalas Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau membaca SMS.
Pelbagai aplikasi terkini yang terdapat dalam telefon bimbit termasuk memuat turun lagu, menulis blog, melayari internet dan berinteraksi melalui laman sosial facebook menyebabkan keghairahan untuk menggunakannya semakin tinggi malah menjadi satu budaya di kalangan ramai pemandu dan penunggang motosikal.
Tanpa disedari budaya tersebut umpama bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa untuk meragut nyawa pemandu dan penumpang kenderaan malah pengguna jalan raya yang lain.
BERSOPANLAH KETIKA MEMANDU, JANGAN SAMPAI ANDA MENJADI PEMBUNUH TANPA ANDA SEDARI.