Sejarah Hari Ini – 18 Februari 1948


Pada hari ini dalam tahun 1948, Satu Persidangan Raja-raja Persekutuan Tanah Melayu telah diadakan di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur.


Persidangan ini merupakan satu perisitwa bersejarah, kerana buat pertama kalinya selepas Perjanjian Persekutuan dan Negeri-negeri ditandatangani, kesemua Raja-raja Melayu telah duduk bersama di meja rundingan.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar yang juga telah dilantik sebagai pengerusi.

Baginda juga telah diberi penghormatan untuk memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 106 orang pegawai dan anggota askar Melayu dari Batalion kedua. Persidangan ini telah diadakan bagi memenuhi ketetapan di dalam Perlembagaan 1948 yang menetapkan Raja-raja Melayu untuk bersidang sekali dalam tempoh tiga tahun.

Melalui persidangan ini Raja-raja Melayu telah dapat menjalin kerjasama dan kesepakatan dalam hal-hal yang berkaitan dengan soal kepentingan rakyat secara bersama.

Bersempena dengan persidangan yang ulung kali diadakan ini Raja-raja Melayu, telah berikrar untuk bersatu memimpin negara demi menjamin kesejahteraan dan kemajuan Persekutuan Tanah Melayu.

Kini setelah 50 tahun kemerdekaan negara, institusi raja di Malaysia masih tetap utuh dan unggul, lambang perpaduan dan kemakmuran negara.

Sumber - Arkib Negara

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »