Pada hari ini dalam tahun 1983, Kempen Anti Dadah Peringkat Kebangsaan dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad bertempat di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan rakyat akan bahayanya penagihan dadah. Pada majlis tersebut Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan satu pasukan Petugas Anti Dadah di Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras semua kegiatan memerangi dadah di negara ini.
Pasukan tersebut dianggotai oleh pegawai-pegawai yang dipinjamkan daripada pelbagai kementerian dan jabatan yang terlibat dalam gerakan anti dadah.
Selain daripada itu juga kerajaan akan melaksanakan satu konsep baru dalam pemulihan penagih dadah yang dinamakan Pusat Serenti.
Mengikut konsep ini, kakitangan daripada beberapa agensi yang berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penagih dadah akan dipusatkan di satu tempat. Agensi-agensi berkenaan termasuklah Kementerian Kebajikan Am, Kementerian Kesihatan, tentera, polis, PEMADAM, Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.
Sejajar dengan perkembangan peranannya yang menyediakan pelbagai program berkesan yang merangkumi semua aspek kehidupan, mulai 22 Januari 2008, Pusat Serenti di seluruh negara di tukar namanya kepada Pusat Pemulihan Penangih Narkotik (Puspen).
Sumber – Arkib Negara