SESI PERTAMA PLKN
Pada hari ini dalam tahun 2004, seramai 26,000 orang peserta kumpulan pertama mula menjalani latihan Program Khidmat Negara (PKN) selama tiga bulan di 41 buah kem di seluruh negara.
Peserta berusia 18 tahun ini melalui empat minggu pertama latihan di kem, manakala lapan minggu seterusnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara.
Kumpulan perintis ini merupakan antara 85,000 remaja berusia 18 tahun yang dipilih secara rawak pada 8 Disember 2003 bagi mengikuti program yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.
Latihan PKN merangkumi empat modul iaitu Latihan Fizikal, Kenegaraan, Pembinaan Karakter dan Khidmat Komuniti, bertujuan memupuk perpaduan kaum, semangat cintakan negara dan displin di kalangan remaja Malaysia.
Pada 30 Oktober 2002, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan.
Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional serta membentuk perwatakan positif melalui pembentukan nilai murni.
Sesungguhnya Program ini telah membuka lembaran baru bagi generasi muda negara ini yang jelas terungkap melalui temanya Satu Hasrat, Satu Semangat, Satu Tekad. Khidmat Negara Tanggungjawab Bersama.
Sumber - Arkib Negara