Pada hari ini dalam tahun 1968, Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan pembukaan Pusat Penyiaran Malaysia yang telah diberi nama "Angkasapuri".
Ianya terletak di atas tanah seluas 33 ekar di Bukit Putra yang mengadap ke Lebuhraya Persekutuan.
Sesungguhnya, sejarah perkembangan penyiaran negara telah bermula sejak tahun 1930 lagi apabila Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala Lumpur telah memulakan siarannya di Bukit Petaling.
Manakala studio sementara Televisyen Malaysia yang bertempat di Jalan Ampang berhampiran dengan Dewan Tunku Abdul Rahman telah memulakan siarannya pada 28 Disember 1963.
Pada Peringkat awalnya, Kompleks Penyiaran Angkasapuri ini telah menempatkan Kementerian Penerangan manakala, Jabatan Televisyen yang beroperasi di Jalan Ampang hanya dipindahkan ke Angkasapuri pada 6 November 1969.
Keseluruhan pelaksanaan projek Pusat Penyiaran ini telah selesai sepenuhnya pada tahun 1972, apabila Bangunan Radio (Wisma Radio) siap dibina dan memulakan siarannya pada 9 Mei 1972 tepat pada jam 12.00 tengah malam.
Kini setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan bidang penyiaran negara telah berkembang dengan pesatnya seiring dengan era globalisasi diperingkat antarabangsa.
Sumber – Arkib Negara