Sejarah Hari Ini - 13 Februari 1965


Pada hari ini dalam tahun 1965, beberapa kawasan Kuala Lumpur telah diisytiharkan perintah berkurung.


Perisytiharan ini diumumkan berikutan berlakunya beberapa rusuhan yang dianjurkan oleh penyokong-penyokong parti pembangkang Front Sosialis yang telah mengadakan perhimpunan raksasa haram kerana membantah penahanan pemimpin parti itu oleh pihak berkuasa.

Pemimpin-pemimpin Parti Front Sosialis telah ditahan di bawah akta keselamatan dalam negeri kerana bersubahat dan merancang mengadakan pemberontakan terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia yang baru ditubuhkan.

Beberapa sekatan jalan raya telah diadakan bagi mengawal keselamatan awam. Rusuhan bermula apabila penyokong-penyokong Front Sosialis berkumpul di ibu pejabat Parti di Jalan Tunku Abdul Rahman dan di Stadium Chin Woo mula menunjuk perasaan dengan merosakan harta benda awam dan mengadakan perarakan tanpa kebenaran Penguasa Polis Bandaraya.

Pasukan Askar Melayu Diraja dan Polis Simpanan Khas telah dikerah mengawal keselamatan dan berjaya menamatkan rusuhan. Kawasan-kawasan yang terlibat iaitu kawasan sekitar Jalan Maxwell, Jalan Tracher, Jalan Imbi, Jalan Shaw, Jalan Birch, Jalan Jejambat, Jalan Hishamuddin dan Jalan Swettenham telah diisytiharkan perintah berkurung.

Perintah berkurung kemudiannya telah dilonggarkan selama satu jam dari jam 2 hingga 3 petang bagi memudahkan pekerja-pekerja pulang ke rumah dan penduduk-penduduk kawasan terlibat membeli barang-barang keperluan.

Perintah berkurung ini kemudiannya telah dibatalkan pada jam 3.30 petang 14 Februari setelah keadaan menjadi reda dan terkawal. Dalam peristiwa dua hari ini seramai 345 orang telah ditahan untuk disoal siasat kerana terlibat dengan berbagai kesalahan.

Sumber : Arkib Negara

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »