Pada hari ini dalam tahun 1976 Bandar Baru Subang Jaya telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al Haj.
Bandar Baru Subang Jaya ini diusahakan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) sebuah agensi kerajaan dengan Syarikat United Estate Projects Sendirian Bhd serta Intercontinental Housing Development (IHD) Hong Kong.
Dalam titah aluannya DYMM Sultan Selangor menyatakan rasa sukacitanya kerana lahirnya sebuah lagi Bandar baru di negeri Selangor.
Baginda juga menaruh harapan tinggi dengan adanya bersama Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dalam perancangan bandar baru tersebut ianya akan dapat memenuhi kehendak kerajaan dan hasrat masyarakat keseluruhannya.
Ini kerana UDA dapat memainkan peranan penting kearah menjayakan dasar-dasar perumahan dan ekonomi kerajaan.
Kesanggupan pelabur dari Hong Kong iaitu Syarikat IHD itu juga merupakan satu kejayaan menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara ini.
Bandar Baru Subang Jaya ini telah dimulakan kerja-kerja perlaksanaannya sejak akhir tahun 1973 lagi dan dengan perasmian pembukaannya pada hari ini dalam tahun 1976 maka lahirlah sebuah bandar yang terancang dan kini merupakan salah satu bandar yang terbaik di Selatan Asia Timur.
Sumber : Arkib Negara