Pada hari ini dalam tahun 1988, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melancarkan Projek Mendaki Gunung Everest.
Projek ini dikendalikan secara kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Persatuan Mendaki Malaysia.
Ketika berucap merasmikan pelancaran projek tersebut, Datuk Sri Mohd Najib menyatakan bahawa seandainya rakyat masih lagi mempunyai jiwa dan cita-cita yang kecil ia tidak mampu membantu negara mencapai tahap kejayaan yang membanggakan. Beliau menggesa seluruh rakyat agar berjuang ke arah mencapai kecemerlangan di dalam semua lapangan termasuklah bidang pentadbiran, siasah, pembangunan ekonomi dan kemanusiaan.
Projek Everest yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir ini bertujuan untuk mendorong rakyat Malaysia berusaha gigih untuk mencapai kejayaan yang gemilang.
Berikutan itu, pada 23 Mei 1997, dua orang rakyat Malaysia iaitu, M.Magendran dan N.Mohandas telah berjaya menakluki Gunung yang tertinggi di dunia dengan ketingginan 29,000 kaki di atas paras laut.
Ekspedisi Gunung Everest Malaysia ini telah dianggotai oleh seramai 20 orang dan mendapat liputan harian selama hampir 55 hari oleh RTM.
Sumber - Arkib Negara