Tun Fatimah Hashim merupakan Menteri Kabinet Wanita Pertama dalam Jemaah Menteri Tunku Abdul Rahman yang memegang portfolio Menteri Kebajikan dari tahun 1969 - 1973.
Beliau memegang kepimpinan Kaum Ibu UMNO (kini dikenali sebagai Wanita UMNO) selama 16 tahun(1956 - 1972).
Dalam pergerakan organisasi Sumberdaya Wanita (LSM/NGO), beliau merupakan pelopor dalam memastikan Hari Wanita Kebangsaan diraikan pada tanggal 25 Ogos pada setiap tahun di mana sambutan julung kalinya diadakan pada tahun 1962.
Usaha-usaha murni beliau yang lain adalah mewujudkan sebuah badan koordinasi organisasi wanita Malaysia (NCWO), iaitu badan yang kini menaungi lebih dari 100 buah NGO wanita.
Beliau dilantik sebagai ketua NCWO pada tahun 1965 dan memimpin organisasi tersebut selama 24 tahun sehingga tahun 1989.
Dalam bidang politik, Tun Fatimah dicatatkan menyertai UMNO pada tahun 1947 ketika berusia awal 20-an sebagai ahli UMNO yang ke-315 dan dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu yang keempat menggantikan Khatijah Sidek.
Melalui jawatannya sebagai ketua umum NCWO, nama Pergerakan Kaum Ibu ditukar menjadi pergerakan Wanita UMNO.
Tun Fatimah merupakan tokoh wanita yang telah mengangkat martabat kaum wanita di Malaysia, di antaranya mendapat gaji yang sama taraf dengan lelaki.
Memegang jawatan sebagai anggota parlimen selama 15 tahun, beliau amat lantang dalam memastikan kaum hawa di negara ini tidak didiskriminasi dalam pembayaran gaji dan pencen, mendapat perlindungan sewajarnya serta memastikan kebajikan wanita tidak diabaikan setelah berlaku perceraian.
Malah berbekalkan semangat kental dan keinginan untuk melihat negara maju sebagai sebuah Negara berdaulat mengikut acuannya sendiri, tiada sebarang imbuhan yang diharapkan daripada setiap sumbangan dan pengorbanan yang dihulurkan.
Beliau juga berjaya memperjuangkan hak kedudukan wanita diiktiraf menerusi undang-undang.
Tun Fatimah telah dianugerahkan bintang Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri, menjadikan beliau penerima wanita pertama anugerah tersebut di negara ini.
Beliau menerima gelaran Tun setelah dianugerahkan Pingat Seri Setia Mahkota pada tahun 2003.
Beliau telah terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Kemasyarakatan pada tahun 2009.
Namun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Pada tahun yang sama, Tun Fatimah telah menghembuskan nafas terakhir dan disemadikan sebagai seorang srikandi negara di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.
Kini, Sekolah Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru merupakan antara mercu tanda pengiktirafan negara terhadap perjuangan beliau yang banyak menyumbang tenaga dalam membina sebuah negara maju demi masa depan generasi hari ini dan masa hadapan.
#NegarakuSehatiSejiwa #HariKebangsaan #Merdeka #TunFatimahHashim