KOS PERBELANJAAN
Cabaran dalam menyasarkan kos pembinaan MRT sebanyak RM23 bilion pada awalnya mendapat kecaman dari pelbagai pihak.
Namun ianya bukan sahaja menghasilkan sistem transit yang tercanggih di Asia Tenggara dan mesra pengguna, malah berjaya mengurangkan kos sebanyak RM2 bilion.
Penjimatan kos ini merupakan hasil kejayaan dan kerjasama mantap antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.) dan pihak-pihak lain yang terlibat seperti Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), kontraktor, subkontraktor serta pembekal.
STESEN BAWAH TANAH
Pembinaan 7 stesen bawah tanah MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) fasa dua telah membuktikan kemampuan bakat tempatan termasuk arkitek, jurureka dan jurutera dalam melaksanakan projek bertaraf dunia yang amat mencabar itu.
7 stesen itu adalah Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX), Cochrane dan Maluri.
Pelbagai faktor diambil kira dalam merancang dan membina stesen bawah tanah berkenaan dan antaranya adalah kedudukan geologi iaitu di bawah bandaraya.
Jajaran bawah tanah bagi Laluan MRT SBK melalui dua kedudukan geologi yang amat berbeza iaitu Formasi Kenny Hill (mendapan batu-batuan dan berpasir) dan Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur.
15% jajaran bawah tanah adalah dalam bentuk batu kapur karstik dan untuk membolehkan terowong digali.
Kesemua tenaga kerja perlu peka dalam mengekalkan keseimbangan subpermukaan sistem geologi yang mengandungi takungan air bawah tanah dan rongga dipenuhi air.
Oleh itu, sebanyak 10 buah Mesin Pengorek Terowong (TBM) telah digunakan untuk menggali tanah kerana TBM merupakan mesin paling efisien dalam mengeluarkan tanah - sama ada jenis berbatu, tanah lembut atau berpasir.
Cabaran paling getir bagi setiap tenaga kerja terlibat adalah ketika pelaksanaan proses intervensi yang memerlukannya menghentikan sementara operasi TBM untuk melihat keadaan lubang dan rongga bawah tanah yang sedang dikorek.
Kesemua tenaga kerja terpaksa berdepan dengan suhu pada tahap 38 darjah Celcius, ditambah dengan bau kotoran memualkan dan persekitaran gelap dengan pergerakan terbatas di dalam terowong.
KAWASAN PERUMAHAN
Pembinaan MRT juga berhadapan dengan bantahan dari sebilangan penduduk di kawasan perumahan kerana khuatir dengan struktur kediaman mereka yang akan memberi kesan semasa proses pembinaan sistem transit terbaharu itu.
Malah, ada pihak yang khuatir berlakunya pencemaran bunyi apabila pembinaan MRT siap sepenuhnya.
Segelintir penduduk kawasan berhampiran turut khuatir berlakunya penurunan harga rumah sebanyak 20 hingga 25 peratus.
Pihak pemaju MRT mengambilkira faktor-faktor tersebut dengan mengambil langkah keselamatan termasuk pembinaan tiang penghadang bunyi di setiap gerabak berhampiran kawasan perumahan yang mampu mengurangkan pencemaran bunyi.
Selain itu, kenyataan pemaju hartanah, Datuk Seri Lim Keng Cheng yang memberi jaminan projek MRT akan memberikan kesan peningkatan nilai hartanah sehingga 30 peratus.
Ianya juga memberi manfaat kepada pemilik aset kerana pembangunan di sekitar MRT tetap menjadi rebutan masyarakat untuk didiami kerana ia lebih mudah diakses.
PENGAMBILAN TANAH
Isu pengambilan tanah bagi melaksanakan projek MRT turut menjadi cabaran besar buat pemaju.
Ianya termasuk membabitkan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor secara profesional yang mengambilkira perihal kebajikan rakyat di samping penstrukturan semula penggunaan infrustruktur bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Justeru, pembabitan secara langsung kedua-dua pihak ini penting dalam usaha mencari penyelesaian aliran laluan MRT bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan kepada rakyat tempatan.
Selain itu, status bangunan Ampang Park yang turut terlibat dalam projek MRT sedikit sebanyak menjadi isu terutamanya para peniaga pusat membeli belah pertama di Kuala Lumpur itu.
Pelbagai tuduhan dan kecaman termasuk penglibatan rasuah telah dilemparkan kepada pihak pemaju.
Setakat ini, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, kenyataan yang dibuat baru-baru ini dengan menuduh MRT Corp terlibat dengan rasuah adalah tidak benar dan tidak berasas.
Beliau juga meminta semua pihak yang membuat dakwaan itu agar tampil mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
#JomNaikMRT