DR ALI HAMSA RAKYAT MALAYSIA PERTAMA DILANTIK ANGGOTA UN CEPA


PUTRAJAYA, 27 Julai - Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dilantik sebagai Anggota Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN CEPA) bagi penggal 2018-2021.


Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perdana Menteri berkata Ali adalah rakyat Malaysia pertama dilantik badan dunia itu sebagai anggota UN CEPA sejak ia ditubuhkan.

Katanya, pelantikan itu disahkan Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa Bersatu (ECOSOC) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, semalam.

"Pelantikan ini merupakan perakuan dan pengiktirafan daripada PBB tentang kejayaan Dasar Transformsi Nasional dan Program Transformasi Kerajaan hasil ilham Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, yang diterjemahkan melalui perkhidmatan awam Malaysia yang cekap dan dinamik," kata kenyataan itu.

UN CEPA, yang ditubuhkan ECOSOC, mempunyai 24 anggota dan mengadakan mesyuarat setiap tahun di ibu pejabat PBB. Jawatankuasa itu bertanggungjawab menyokong tugas ECOSOC berkaitan usaha memajukan dan membangunkan pentadbiran awam dan tadbir urus dalam kalangan negara anggota.

Menurut kenyataan itu, pencalonan pakar dilakukan Setiausaha Agung PBB dengan mengambil kira pengetahuan dan pengalaman amali seseorang tokoh dalam bidang pentadbiran awam, pengalaman luas dalam kerajaan dan atau bidang akademik serta keanggotaan dalam persatuan kebangsaan, serantau atau antarabangsa yang berkenaan.

Sejajar dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara sejak Jun 2012, antara perkara yang menjadi keutamaan tertinggi Ali ialah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada orang ramai dan pihak berkepentingan dengan memperkenalkan konsep menginsankan perkhidmatan awam.

"Pelantikan ini merupakan suatu penghormatan tinggi dan bukti jelas tentang keyakinan Setiausaha Agung PBB terhadap kepimpinan beliau dalam perkhidmatan awam Malaysia dan untuk membawa UN CEPA ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam memberi penekanan terhadap amalan baik tadbir urus dalam kalangan negara anggota.

"Berbekalkan pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan awam, Dr Ali Hamsa akan mampu memantapkan lagi tugas UN CEPA serta memperkukuh sumbangan dan komitmen Malaysia terhadap PBB," kata kenyataan itu.

Di peringkat antarabangsa, Ali kini berkhidmat dalam penggal kedua berturut-turut sebagai Presiden Pertubuhan Komanwel Bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) untuk penggal 2016-2018.

Di peringkat serantau, Ali pernah menjadi hos Pemukiman Ketua Perkhidmatan Awam ASEAN yang julung kali diadakan iaitu ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015, yang menyaksikan termeterainya Deklarasi Bersama Putrajaya mengenai ASEAN Pasca 2015 ke arah mewujudkan Perkhidmatan Awam ASEAN Berpaksikan Rakyat dan penganjuran Sukan Perkhidmatan Awam ASEAN pertama pada November 2015.

UN CEPA menyediakan platform untuk bertukar-tukar maklumat, idea dan pengalaman ke arah memupuk dan meningkatkan persefahaman antara negara anggota PBB, di samping menyumbang ke arah memperkasa dan menambah baik perkhidmatan awam Malaysia.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »