1995 - KTM KOMUTER
KTM Komuter mula diperkenalkan pada tahun 1995 sebagai tren elektrik yang pertama di Malaysia. Mengutamakan kepantasan, ketepatan, keselesaan, kebersihan alam sekitar, keselamatan serta tambang berpatutan, tujuan utama untuk mengurangkan kesesakan.
KTM Komuter bermula secara berperingkat mengikut sektor dan larian komersial, bagi sektor Seremban - Rawang bermula pada Ogos 1995.
Sistem pengangkutan yang mula beroperasi pada tahun 1995 ini memberikan khidmat kepada pengguna pada setiap hari dengan dua laluan bagi Sektor Tengah, iaitu laluan Seremban, dari Batu Caves ke Seremban dan Pelabuhan Klang ke Rawang, dan Rawang ke Tanjung Malim.
Perkhidmatan ini diperluaskan pada tahun 2015 dengan pengenalan Sektor Utara dan Selatan. Untuk Sektor Utara, dua laluan pertama yang beroperasi adalah laluan Kamunting-Butterworth-Gurun. Dua laluan kedua akan dibuka pada tahun 2016 dari Butterworth ke Padang Besar. Bagi Sektor Selatan, penumpang boleh menaiki laluan Seremban ke Gemas, dari Seremban ke Pulau Sebang / Tampin dan Gemas.
Setakat ini, terdapat 53 stesen yang beroperasi dengan purata jumlah penumpang seramai 60,000 setiap hari.
1996 - TRANSIT ALIRAN RINGAN (LRT)
LRT atau sistem Transit Aliran Ringan disediakan dan dikendalikan oleh Prasarana Sdn. Bhd. Pada masa ini terdapat dua laluan LRT iaitu Laluan Kelana Jaya, yang beroperasi daripada Gombak sehingga Kelana Jaya dan Laluan Ampang, yang beroperasi dari Sentul Timur sehingga Ampang dan Bandar Puteri.
LRT mampu memuatkan 396 penumpang untuk setiap gerabak dengan jumlah merangkumi 37 stesen bagi Laluan Kelana Jaya, 31 stesen bagi Laluan Sri Petaling dan 18 stesen bagi Laluan Ampang.
LRT yang dikendalikan di bawah Prasarana juga bakal menyiapkan dua dua projek pembangunan utama melibatkan :-
Projek Sambungan Laluan Kelana Jaya akan melibatkan pemanjangan laluan sehingga merentasi 13 stesen baru, termasuk Ara Damansara, Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Stesen Bersepadu Putra Heights, di mana ia akan berhubung dengan projek sambungan Laluan Ampang. Pengguna dijangka akan dapat menikmati sambungan Laluan Kelana Jaya pada suku pertama 2016.
Projek Sambungan Laluan Ampang akan memanjangkan laluan sehingga merentasi 12 stesen baru, bermula dari Stesen Sri Petaling dan merentasi Kinrara serta Bandar Puteri, Puchong sebelum berakhir di Stesen Bersepadu Putra Heights. Sambungan tersebut dijangka siap pada suku pertama 2016.
Perancangan seterusnya bagi agenda LRT adalah pembinaan dan penyempurnaan LRT3, iaitu laluan LRT baru yang akan beroperasi dari Bandar Utama sehingga Johan Setia, Klang.
2002 - KLIA EKSPRES / KLIA TRANSIT
KLIA Ekpres mula beroperasi pada 4 April 2002 dan ianya merupakan perkhidmatan kereta api laju tanpa henti yang menghubungkan bandar raya Kuala Lumpur melalui stesen KL Sentral dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).
Manakala KLIA Transit pula menyediakan tiga hentian segera di Bandar Tasik Selatan, Putrajaya dan Salak Tinggi sebagai laluan alternatif ke KLIA.
2003 - MONOREL KL
Monorel KL adalah perkhidmatan monorel dalam bandar yang menghubungkan bahagian utara dan pusat bandar Kuala Lumpur.
Mula beroperasi pada 31 Ogos 2003, ianya merentasi pusat perdagangan dan perniagaan utama, jajaran membeli-belah dan rangkaian hotel di Kuala Lumpur sebelum menamatkan perkhidmatannya di Kuala Lumpur Sentral.
Monorel KL ini mempunyai 11 stesen dengan merangkumi laluan dari KL Sentral ke Titiwangsa.
2010 - PERKHIDMATAN TREN ELEKTRIK (ETS)
ETS merupakan perkhidmatan tren laju antara bandar di antara Penang Sentral, Butterworth dan Kuala Lumpur yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu pada 12 Ogos 2010.
Terdapat 10 stesen yang berkhidmat sepanjang laluan ini iaitu tiga di Perak, dua di Selangor, tiga di Kuala Lumpur dan dua lagi di Negeri Sembilan.
Kelajuan operasi maksimum armada ETS adalah 145 km/jam, walaupun tren ETS direka untuk mencapai kelajuan 160 km/jam.
Setiap tren boleh mengangkut maksimum 350 orang penumpang, dan terdiri daripada enam gerabak.
2016 - TRANSIT ALIRAN MASSA LEMBAH KLANG (MRT)
MRT yang mula beroperasi pada 16 Disember 2016 muncul sebagai projek infrastruktur pengangkutan awam darat termoden dan terbesar di Malaysia.
Bermula dengan laluan pertama melibatkan laluan Sungai Buloh - Kajang yang telahpun mula beroperasi pada 17 Julai 2017 lalu, projek ini bakal diteruskan dengan Laluan Kedua Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang dijangka siap sepenuhnya pada sekitar Julai 2022.
Manakala bagi laluan Ketiga kini MRT Laluan 3 yang juga merupakan terakhir bagi Projek MRT Lembah Klang adalah di peringkat perancangan dan pembangunan.
MRT bakal memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pengguna dengan kapasiti maksimum seramai 1,200 orang penumpang bagi setiap gerabak.
Pelaksanaan sistem MRT ini dijangka bakal mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dengan sasaran pengurangan 160,000 buah kenderaan di jalan raya menuju ke Pusat Bandaraya.
Sasaran 400,000 penumpang dijangka bakal menggunakan sistem MRT pada setiap hari.
Setakat ini, sebanyak 31 stesen telah beroperasi melibatkan laluan Sungai Buloh-Kajang manakala 37 stesen di Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya masih dalam proses pembinaan.