Hospital Sungai Buloh merupakan hospital kerajaan yang terletak kira-kira 25km daripada Bandaraya Kuala Lumpur. Dengan keluasan 130 ekar, hospital ini dibina bagi menampung keperluan populasi yang kian meningkat dan sesak disekitar kawasan ini dan juga untuk mengurangkan kebanjiran pesakit di Hospital Kuala Lumpur. Katanya!
Tetapi, isu parkir di Hospital Sg Buloh tak pernah padam. Rungutan tanpa henti, aduan juga sudah dibuat tapi masih tidak menunjukkan sebarang penyelesaian, apa cerita ni? Isu parkir ni memang menyulitkan dan tidak seharusnya berlaku di tempat yang menjadi tumpuan awam, lagi lagi hospital.
Apa tindakan yang telah diambil oleh pihak hospital? Ya, ada memang ada tetapi dengan sekadar menambahkan parkir di bahagian Pusat Kawalan Kusta Negara yang terletak 10 minit jaraknya daripada hospital. Tetapi, tak terfikirkah tentang orang yang kurang upaya? Yang terpaksa menyeret kaki untuk ke hospital? Tolonglah kasihani mereka.
Pihak kerajaan dan badan badan swasta bagaimana pula? Dengar khabar, cadangan pembinaan parkir bertingkat telah diusulkan oleh pihak pengurusan hospital kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Tapi itu cadangan yang dah diusulkan beberapa tahun lalu, hilang lenyap tanpa sebarang pembaharuan barangkali.
Pada saat saat getir ni, masuk pula badan badan swasta yang kononnya ingin menghulurkan bantuan dengan menyediakan parkir berbayar. Ulang bacaan, parkir berbayar. Ya, sampaikan hospital juga jadi tempat mereka mengaut keuntungan. Sedarkah mereka bahawa pesakit & pelawat hospital kerajaan kebanyakkan daripada golongan marhaen? Mungkin mereka lupa.
Dalam menanti tindakan diambil, mari lah kita kita yang menggunakan khidmat hospital kerajaan pun buat sesuatu untuk kesenangan sendiri. Ok? Pesakit yang datang dengan kenderaan yang dibawa oleh waris masing-masing boleh diturunkan di drop zone berhampiran kafeteria dan menunggu di kerusi disediakan sebelum mendapat rawatan di klinik.
Bagi pihak hospital, kami harap kalian juga dapat membantu pengunjung hospital dalam selesaikan isu ini memastikan pasukan keselamatan hospital membantu dalam melancarkan aliran trafik di kawasan parkir terutama pada waktu puncak.
Dalam keadaan ini diharap pihak pihak yang berkenaan cuba memahami keperluan mereka yang memang kerap berurusan di hospital kerajaan. Lihatlah dari kacamata rakyat marhaen, selami kepayahan mereka. Sekian, semoga isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Cargas cargas!