KESAN AKTIVITI TAMBAK LAUT


Aktiviti menambak laut bukan suatu perkara yang asing dalam negara kita apabila ia bermula sejak pertengahan tahun 80-an lagi di sepanjang persisiran pantai Melaka yang melibatkan hampir 1/3 dari 96km keseluruhan jumlah pantai negeri itu. Alasan yang sering digunapakai untuk menghalalkan aktiviti ini ialah ‘Pembangunan’. Baru-baru ini kita sekali lagi dikejutkan dengan isu tambak laut yang tidak terkawal di Pulau Pinang bagi tujuan perindustrian, perumahan dan komersil.


Projek tambak laut boleh diklasifikasikan sebagai pencemaran kerana impak hasil dari aktiviti ini membawa ke arah kesan yang negatif terhadap alam sekitar terutamanya habitat alam semula jadi. Selain itu, ia bukan sahaja akan menukarkan ciri hidrologi (aliran air) dan geomorfik (kedudukan tanah) pesisiran pantai pulau ini tetapi juga menyebabkan hakisan dan enaptimbus di kawasan lain.

Penambakan yang mengubah proses dan pola geomorfologi pinggir pantai mengakibatkan sebahagian besar tenaga ombak semulajadi telah dipindahkan ke kawasan lain. Ini akan memberi kesan hakisan pantai yang lebih teruk. Sifat hidrodinamik air akan berubah lantas memberi kesan kepada kadar kelajuan ombak serta arahnya.

Antara contoh yang berlaku ialah seperti di Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu Kelantan dan Pantai Manis di Sabah yang terhakis kesan penambakan untuk pembinaan projek Sutera Harbour.

Proses penambakan laut juga turut menyebabkan berlakunya pemendakan berlebihan di pinggir dan dasar laut. Jelas kelihatan sedimentasi yang berlaku di persisiran pantai yang terkesan daripada projek penambakan laut yang tidak terkawal bukan sahaja menyebabkan air laut menjadi kotor dan semakin cetek, malah turut menjejaskan pengaliran beberapa sungai berhampiran.

Keadaan seperti itu mengakibatkan tumbuhan akuatik seperti batu karang dan rumpai laut akan mati ‘kelemasan’ setelah tenggelam dan tersalut dengan tanah dan lumpur yang termendap. Apabila komponen ekosistem akuatik seperti itu terjejas, populasi hidupan laut yang menjadi sumber perikanan dan protein akan berkurangan dan terancam.

Kemusnahan secara fizikal akibat penambakan laut juga akan terjurus ke arah kejadian bencana banjir serta limpahan air ke daratan secara luar biasa. Penambakan telah mengubah kedudukan serta peranan sistem saliran yang sedia wujud.

Akibatnya banyak kos terpaksa dibelanjakan bagi membina benteng-benteng konkrit untuk mengelakkan robohan tanah daratan. Kos membina dan menyelenggara benteng ini menelan ribuan ringgit kerana benteng yang dibina kerap roboh oleh pukulan ombak yang kuat tanpa benteng semulajadi iaitu pasir pantai.

Tambakan laut seharusnya menjadi pilihan terakhir sesebuah projek dalam menjalankan pembangunan kerana kemusnahan alam sekitar marin dan hutan paya bakau tidak akan boleh diperbaiki sekiranya musnah dan implikasinya memakan masa yang lama.

Sewajarnya amalan selama ini mengenai kerja tambak laut disemak semula dan satu dasar yang lebih telus, adil dan seimbang dibentuk, agar alam sekitar dapat dipelihara disamping masyarakat nelayan pantai yang pastinya menerima tempias kerja tambak laut ini tidak terus dizalimi dan kepentingan mereka tidak diabaikan.

Penting sekali, hak akses orang awam kepada kawasan pesisir pantai yang baru wujud terus terpelihara, dan tidak semuanya kawasan pantai di gigi air menjadi milik persendirian oleh pembeli (syarikat pemaju).

Ini kerana jika kita biasa berkunjung ke beberapa lokasi projek tambak laut yang kini sudah siap dilaksanakan di beberapa negeri, kita akan dapati bahawa kebanyakan kawasan pesisiran pantai kini menjadi harta milik persendirian, dan orang awam tidak ada lagi hak akses ke pantai di situ.

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »