Semalam, sebuah portal tempatan ada mendedahkan mengenai pemberian makanan untuk pelajar dikalangan keluarga berpendapatan rendah di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di negeri Kelantan.
Menurut laporan tersebut, seorang guru di sebuah sekolah di Pasir Mas, Kelantan meminta pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turun padang melihat senario yang berlaku di tempatnya berkaitan program RMT.
Guru yang tidak bernama itu melahirkan rasa sedihnya apabila melihat menu makanan pagi untuk murid miskin tegar disediakan adalah berupa nasi kosong dengan lauk separuh potongan sosej.
Laporan di portal disebut kemudiannya diulang siar oleh beberapa laman sosial Facebook mengikut versi masing-masing yang mempunyai ratusan ribu pengikut sehingga menjadi viral.
Pelbagai komen dan kritikan kemudiannya dapat dilihat namun Malaysia Menjerit tertarik dengan salah satu komen yang ditulis oleh pengguna Facebook bernama Acid Ramli.
Beliau yang mengakui pernah menjadi pengusaha kantin di sekolah mengatakan,
“Ini pengusaha kantin itu yang pedajal (menganiaya). Menu RMT memang RM2.50. Asal memula wujudnya RMT harga cuma 0.80sen sahaja. Time (semasa) aku meniaga kantin 2010 dulu RM1.80.
“Menu RMT ada spec (kategori) dia tersendiri. Nasi ada timbangannya. Lauk mesti samada ikan, ayam dan ada sayur. Set termasuk buah potong dan air.
“Ada jadualnya budak dapat sebiji epal atau limau. Memang budak kenyang dan walaupun RM2.50 nampak macam murah.
Beliau kemudiannya mengajukan persoalan ini,
“Pengusaha kantin masih ada untung. RM2.50 x 100 murid x 26 hari sekolah. Berapa sebulan? Pembayaran setiap bulan.”
Malaysia Menjerit bersependapat dengan Acid bahawa isu ini perlu dijawab oleh pengusaha kantin itu sendiri. Manakala cadangan guru tanpa nama yang mahu pihak PPD turun padang itu juga sesuatu yang relevan.
Turun padang bukan bermakna menuding jari kepada mereka sebaliknya melihat dan menyiasat sendiri apa yang sedang berlaku. Jika terdapat unsur-unsur kesalahan membabitkan mana-mana pihak, adalah wajar ia diambil tindakan segera tanpa berlengah-lengah.
Oh ya, mungkin lebih baik siasatan tersebut turut melibatkan agensi yang lebih berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
KEMASKINI
Malaysia Menjerit difahamkan bahawa sebaran tentang isu ini sebenarnya rekaan fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab iaitu salah seorang bapa kepada pelajar di sekolah terbabit.
Pihak sekolah telah membuat siasatan segera dan mendapati tuduhan tersebut tidak berasas. Pihak kantin telah menyediakan makanan mengikut rutin harian yang telah ditetapkan iaitu nasi goreng cina, lauk daging, tembikai dan milo.
Pihak kantin sekolah juga telah menambah sosej dan telur atas inisiatif pihak kantin menarik selera pelajar.
Dalam masa sama, pihak PPD Pasir Mas telah pun menghantar dua orang wakilnya untuk membuat lawatan mengejut. Hasil siasatan mendapati makanan yang disediakan oleh pihak kantin sekolah adalah mengikut menu harian (sebagaimana dilaporkan oleh pihak kantin dan pengurusan sekolah) dan bersesuaian dengan kadar bayaran harga RMT sebanyak RM2.50 bagi setiap pelajar.