Malaysia terus melakar nama di pentas dunia melalui sukan di temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro.
Tiga nama yang sebelum ini asing dikalangan kita namun hari ini menjadi sebutan ramai bahkan diangkat sebagai hero.
Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi
Memenangi pingat emas dalam acara 100meter kategori lelaki (Cerebral Palsy) dengan catatan 12.07 saat. Sementara bagi acara lompat jauh, beliau menduduki tangga keempat. Catatan terbaiknya pada lompatan keempat, 5.36 meter berjaya mengatasi rekod paralimpik dicipta di London 2012 dengan 5.23m milik atlet Ukraine, Roman Pavlyk.
Muhamad Ziyad Zolkefli
Atlet yang mengalami masalah pembelajaran (intellectual disability) sebenarnya seorang penjual kuey teow. Beliau memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru dengan lontaran sejauh 16.84 meter sekaligus mencipta rekod baharu dunia. Sebelum berlepas ke Rio, Ziyad sudah berjanji kepada bapanya dengan penuh yakin iaitu mahu membawa pulang pingat emas buat negara dan keluarga. Ziyad benar-benar mengotakan janjinya.
Abdul Latif Romli
Disifatkan seorang anak yang 'nakal' namun berjaya mengharumkan nama negara dan keluarga apabila memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh dengan jarak 7.60 meter. Lebih luarbiasa, walaupun mengalami masalah pembelajaran (intellectual disability), atlet ini berjaya memecahkan rekod dunia dengan tiga lompatan!
Rekod dunia terdahulu iaitu 7.35m adalah milik beliau sendiri yang dicatat pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lalu, manakala rekod Sukan Paralimpik iaitu 7.25m dipegang Jose Antonio Exposito Pineiro dari Sepanyol yang dilakukan pada edisi 2012 di London.
"Cipta tiga rekod dunia dalam satu malam, pecahkan rekod sendiri. Abdul Latif Romly, anda luar biasa! Tahniah, emas ke-3 #MAS di #Rio2016 #Paralympics. #TerbangLatifTerbang," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi catatan di laman rasmi Twitternya.
Pagi ini, seorang lagi atlet paralimpik negara Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin memburu kilauan emas apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 400 meter T20 wanita (masalah pembelajaran). Dalam peringkat saringan, Siti Noor Iasah memenangi saringan kedua dengan mencatat masa 58.96 saat.
Inilah semangat juang yang tinggi atlet paralimpik negara. Kesungguhan mereka dalam memburu emas dalam acara yang disertai wajar dijadikan contoh. Bukan sahaja dapat RM1 juta, tetapi lebih daripada itu - mengharumkan nama negara dipentas antarabangsa!