Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) ‘menggerakkan’ kedudukan kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson ke Semenanjung Korea bertujuan mendesak Korea Utara menghentikan program senjata nuklear.
Bagaimanapun, langkah berkenaan dilihat bakal menimbulkan ketegangan di rantau tersebut selepas Pyongyang baru-baru ini mengutuk tindakan AS melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Syria.
“Pusat Pemerintah Pasifik AS mengarahkan kapal tersebut ke rantau itu sebagai langkah berjaga-jaga. Ancaman utama di rantau itu adalah Korea Utara atas kecuaian, tidak bertanggungjawab dan ketidakstabilan program misil serta terlalu mengejar kemampuan senjata nuklear,” kata jurucakap Pusat Pemerintah Pasifik AS, Dave Benham.
Pyongyang didakwa sedang membangunkan peluru berpandu jarak jauh yang mampu menyerang AS menerusi kepala peledak nuklear dan sehingga kini, sebanyak lima ujian sudah dilakukan.
Analisis imej satelit menunjukkan Korea Utara bersedia menjalankan ujian buat kali keenam dan para pegawai perisikan AS memberi amaran Pyongyang akan membangunkan senjata nuklear jarak jauh dalam tempoh dua tahun lagi.
Rabu lalu, Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak sederhana ke arah Laut Jepun menjelang pertemuan dua hala antara Presiden AS, Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China, Xi Jinping.
Trump baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Jinping di Florida dan salah satu isu yang dibincangkan ialah gesaan AS kepada China supaya membantu membendung program senjata nuklear Korea Utara. – AFP