KUANTAN 26 April - Polis sudah mengenal pasti beberapa sekolah di seluruh negara yang mempunyai masalah gangsterisme, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Khalid bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sekolah terbabit dan menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan dalam masa terdekat, termasuk risikan untuk pemantauan, selain bekerjasama dengan pihak sekolah.
"Kita minta pihak sekolah supaya jangan menyembunyikan kegiatan gangsterisme ini dan beri maklumat kepada polis supaya masalah itu dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan kesan buruk pada masa depan.
"Ibu bapa juga harus memainkan peranan dan beri kerjasama," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Pahang kepada Datuk Rosli Ab Rahman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Bekas Ketua Polis Terengganu itu menggantikan Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani yang bersara selepas menjawat jawatan berkenaan sejak tahun 2011.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan 35 ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24 yang turut membabitkan pelajar sekolah.
Baru-baru ini, polis menahan 22 pelajar sekolah di sekitar Klang kerana disyaki terbabit dengan kumpulan kongsi gelap Geng 24 dalam operasi Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Selangor.